Dia duduk berteleku di sudut itu. Entah apa yang dirasakannya, dia sendiri tidak tahu. Yang pasti, selama berbulan bulan ini, matanya basah. Hatinya juga basah. Dek hujan air mata yang turun seolah hujan pertama kali turun di tanah tandus hatinya. Hujan yang semakin lama semakin dahsyat, lalu bertukar menjadi bah dan akhirnya meranapkan segala tanaman hati hasil dari kejerihan jiwa raganya. Marah kah? Sedih kah? Atau hanya mainan perasaan yang entah keberapa kali menipu dirinya? Atau mungkin juga sesalan yang tidak tertanggung?
Ya, mungkin kerana sesalan yang tidak tertanggung, yang membuatkan dirinya sesejuk ini. Bagilah segala jenis haba pun, tiada apa yang dapat meruntuhkan tembok ais jiwanya. Dan yang pasti, walau sesejuk mana dirinya, hati dan matanya sudah kering dari air mata jahanam itu.