20120827

Yang Kedua Kali

Sebelas lima puluh minit malam,

Aku menjejakkan kaki di taman permainan tersebut, disambut bayu yang meniup lembut pipiku. Mungkin bayu seakan mengucapkan tahniah kepada aku yang datang sepuluh minit lebih awal. Kelibatnya tidak kelihatan. Mungkin sebentar nanti dia akan datang dan menerjahku dari belakang seperti selalu.

Dua belas tengah malam,

Aku duduk di bangku itu dan tunggu. Bunyi hentakan kaki aku di atas tanah semakin perlahan dan akhirnya berhenti. Aku unjurkan badan sedikit ke depan dan ke belakang sambil menemukan kedua tapak tangan. Sesekali aku menggaru kepala yang tidak gatal. Aku ambil keputusan untuk menyimpan telefon bimbit di dalam poket baju setelah saban minit aku belek. Rokok aku nyalakan.

Dua belas empat puluh tiga minit malam,

Tiada apa apa. Ini rokok kelima yang aku nyalakan. Lagu lagu kesukaan dia juga sudah lama melengkapkan satu pusingan dalam playlist telefon bimbitku. Termasuk lagu yang aku kurang minati itu. Satu pesanan ringkas aku hantarkan.

Satu lapan belas minit pagi,

Kelibat seseorang yang sudah lama tidak kutemu masih tidak kelihatan. Resah mula menggantikan darah dan mengalir laju ke dalam tubuhku. Baru aku sedar aku kesejukan di tengah malam begini, yang gelapnya tanpa cahaya. Bintang terang juga tiada yang sudi menampakkan diri. Aku dakapkan telefon bimbit ke telingaku dengan harapan suaranya ada disebelah sana, mengatur kata kata maaf atau apa sahaja yang dapat menydapkan hatiku. Tiada apa.

Aku hela nafas dan aku hembus kembali perlahan lahan. 

Dua dua puluh tiga minit pagi,

Aku mendongak ke langit tinggi sambil menyelongkar memori aku dan dia yang semakin pahit dibenak. Aku tak sepatutnya biarkan dia meredah hujan keseorangan tempoh hari. Tak sepatutnya aku biarkan dia menunggu begitu lama, dan tidak sepatutnya aku biarkan dia semakin jauh dalam lautan sepi yang aku cipta sendiri. Aku menghilangkan diri saat cintanya padaku berada pada paras yang tertinggi. Kata rakannya si dia sudah tidak lagi mengharapkan apa apa. "Hatinya sudah mati," katanya.  Tetapi itu bukan dia yang aku kenal, mana mungkin dia biarkan aku begini. Dia pasti akan ke mari. Aku yakin. 

Tiga dua minit pagi,

Aku ternampak kelibatnya di hujung lorong sana. Manis senyumnya seperti biasa. Aku mula mengatur langkah dan pergi mendapatkan apa yang aku mahukan sepanjang hidupku. Bait bait ayat sudah lama aku latih di hadapan cermin sebelum sampai disini. Tetapi dirinya semakin jauh. Aku melajukan langkah, yang seakan tidak bergerak dari tempat asalku berdiri. Aku terus berlari sekuat hati. Aku terjaga. Peluh dingin mula mengalir laju di dahi. Fikiranku mengiyakan bahawa aku bermimpi. Dia masih lagi tidak sampai dan hati aku semakin rawan, kali ini bersertakan lengan dan leher yang menjadi kamar persinggahan serangga berbelang. Batang rokok yang entah keberapa.
 

Lima tiga puluh dua minit pagi,

Embun sudah mulai memenuhi dedaun dan permaidani hijau, yang pastinya mengingatkan aku kepada memori kami berdua menjelajah tasik kesukaan dikala mega mula menjengah dibalik bukit. Sudah lama aku disini dan aku tahu dia tidak akan muncul disini bersama mentari. Rasa kesal mula membalut diriku yang kesejukkan. Sepayah aku menghalang mata dari bergenang, sepayah itulah aku cuba menenangkan diriku.

Tujuh pagi,

Berat kakiku untuk mengorak langkah pulang. Seberat hatiku untuk menerima kenyataan bahawa aku sudah tidak lagi membawa erti kepadanya seperti dulu. Yang tinggal hanya bangku kayu yang kami bina bersama dahulu, yang akan menjadi tanda penyesalanku atas cinta yang tidak pernah aku iktiraf. Dan aku tinggalkan namanya di atas bangku itu bersama beberapa bait ayat yang aku karang.


***********

"Walau aku tidak pernah endahkan tangis sebak air matamu,
Organ ini degupnya tetap untuk kamu,
Nafas ini masihnya dihembuskan untuk kamu,
dan wajahmu tidak pernah berhenti menari di benakku.

Maafkan aku, aku masih perlukan kamu."


Inspired by,

20120808

Lima Puluh Satu

Jadi semalam aku terjumpa seseorang persis wajahmu.
Wajahnya, senyumnya, tawanya,
Semuanya tidak ubah sepertimu.
Kelainan miliknya mungkin pada garis bibirnya.
Kerana aku ingat garis munggil bibirmu.
Dan dia tidak berjaya memberi sensasi rasa menggoncang jiwa
Yang selalu kau berikan padaku.
Senyumku juga dibalasnya bersahaja
Tidak sepertimu yang mampu menerangkan segala dukaku.

Jadi aku terus berpaling dan berlalu pergi,
Cuba menidakkan kecelaruan hati.
Dikala langkah aku terhenti saat suatu suara memanggil namamu
Dan aku menidakkan desir hatiku,
"Ya, itu memang engkau. Cuma dirimu itu tidak lagi punya hatiku,
Dan garis bibirmu sudah tidak sama kerana dikucup bibir yang lagi satu."

20120806

Lima Puluh

Untuk engkau yang aku cintai,
Ingatanku padamu adalah seperti,
Ingatnya bulan terhadap malam.
Atau seperti,
Ingatnya hujan terhadap kolomunimbus,
Yang berada berdua sentiasa
Tanpa mengenal jarak jauh magnitudnya.
Dan engkau kulupai seperti,
Pelangi yang muncul selepas hujan.
Dikala malam.

Yang belum pernah.

20120803

Separa Sempurna

Disclaimer: Adalah dinasihatkan untuk membaca cerpen ini dengan pace yang perlahan.


Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Bau itu. Bau istimewa yang selalu dihidunya dulu. Hatinya berkata bahawa tuan empunya bau mungkin berada dikawasan sekitarnya. Sekurang kurangnya dua puluh meter radius. Macam mana dia boleh mengira jarak dengan tepat dia pun tidak tahu. Berbekalkan angan angannya untuk menjadi Russian spy, dia pasti firasat hatinya betul, kerana cuma dia yang punya bau itu. Bau vanilla menyengat pekat. Dia menoleh, dan kelihatan tuan empunya badan sedang berjalan semakin jauh membelakanginya. Mahu saja dia berlari dan gapai tangan itu dan terus dakap tubuh itu rapat rapat. Biarlah masa terhenti seketika dengan pelukan itu walau sesaat. Dia mahu menceritakan tentang apa yang terjadi pada hidupnya kepada si dia, tentang lagu lagu baru yang disukainya, atau mungkin cuma mahu mengajaknya pergi ke tempat suci mereka dan cuma duduk berdua disitu hingga senja tiba.

Tapi entah bagaimana dia hanya kaku dan mendiamkan diri.
"Eh itu dialah. Kau tak tegur ke?" Kata kawannya.
"Oh tak kot. Dia busy tu biarlah." Dia membalas.


Hakikatnya dia tahu tubuh yang semakin menjauh itu tidak sesibuk mana. Sudah menjadi kebiasaannya untuk menghafal rutin harian si dia. Bukannya dia fanatik atau sedang melakonkan watak seseorang yang obses. Bukan juga kerana angan angannya untuk menjadi Russian spy sebabnya. Tetapi kerana dia memang sudah terbiasa.

Kerana dalam dirinya, ada si dia.

"Amboi jalan menonong tak pandang kiri kanan. Hebat sangat ke catwalk awak tu sampai tak nampak kita tercegat dekat sini?"

Dia menghela nafas panjang. Sesungguhnya dia teragak agak untuk menekan butang "Send" di telefon bimbitnya. Selama dua saat masa yang difikirkannya panjang untuk membuat keputusan, dia memadam mesej itu. Entah berapa kali dia padamkan mesej yang dikarang hebat sebelum dihantar kepada si dia. Entah berapa kali juga dia cuba menghubungi nombor telefon si dia yang sudah tertanam dibenaknya tetapi dia mematikan hasratnya. Dia juga kurang pasti berapa kali sudah dia teragak agak untuk memulas tombol pintu rumah si dia. Dan yang paling penting, dia tak pasti apakah sebabnya mereka berdua sudah lagi tidak bersua.

Dahulu mereka berdua bagaikan belangkas yang tidak kenal erti jarak seinci. Kemana ada si dia, di situ ada seorang lagi. Tapi kini apabila terjumpa, mereka akan mengelak dan hanya membiarkan memori menari nari di minda sendiri. Atau kadang kadang hanya tersenyum basi dan membiarkan momen momen awkward memamah diri. Ahh persetankan semua itu! Kali ini dia akan mengejar si dia dan biarkan memori usang mereka kembali berseri.

Dia mengorak langkah mengejar si dia. Di dalam kepalanya dia membayangkan beberapa baris ayat yang sudah difikirkan untuk memulakan perbualan. Dan mungkin dia akan mengajak si dia untuk minum. Dia masih berhutang teh markisa kegemaran si dia. Tetapi segala lamunannya terhenti apabila langkah yang diikutinya membawa dia ke satu tempat yang tidak asing baginya.

Bukit itu memang cantik jika dilawati apabila menunggu senja. Hijau rumput dan angin bayu yang tidak pernah putus usaha meniup lembut ke muka membuatkan tempat itu ekstra-biasa bagi mereka berdua. Tiada siapa yang tahu akan bukit itu selain mereka berdua. Kerana itulah bukit itu menjadi istimewa. Tempat suci mereka.

Dia memikirkan betapa perfect nya saat ini untuk memulakan perbualan, bergelak tawa dan kembali seperti biasa. Mereka berdua. Tempat istimewa. Waktu senja. Ya! Tiada yang lebih bagus dari ini! Lalu dia melangkah laju mendaki bukit itu sedikit jauh dibelakang si dia.

Sebelum sampai ke puncak, hatinya berona kedengaran suara si dia bergelak tawa. Tetapi kedengaran pula, ada suara lain yang turut ketawa sama. Hatinya kini kemek.

Di puncak kelihatan si dia dan seorang jejaka. Ditemani teh markisa kegemarannya.
Berdua. Tempat istimewa. Waktu senja.

Celaka.


p/s: "If you have a minute why don't we go? Talk about it somewhere only we know?"