20120827

Yang Kedua Kali

Sebelas lima puluh minit malam,

Aku menjejakkan kaki di taman permainan tersebut, disambut bayu yang meniup lembut pipiku. Mungkin bayu seakan mengucapkan tahniah kepada aku yang datang sepuluh minit lebih awal. Kelibatnya tidak kelihatan. Mungkin sebentar nanti dia akan datang dan menerjahku dari belakang seperti selalu.

Dua belas tengah malam,

Aku duduk di bangku itu dan tunggu. Bunyi hentakan kaki aku di atas tanah semakin perlahan dan akhirnya berhenti. Aku unjurkan badan sedikit ke depan dan ke belakang sambil menemukan kedua tapak tangan. Sesekali aku menggaru kepala yang tidak gatal. Aku ambil keputusan untuk menyimpan telefon bimbit di dalam poket baju setelah saban minit aku belek. Rokok aku nyalakan.

Dua belas empat puluh tiga minit malam,

Tiada apa apa. Ini rokok kelima yang aku nyalakan. Lagu lagu kesukaan dia juga sudah lama melengkapkan satu pusingan dalam playlist telefon bimbitku. Termasuk lagu yang aku kurang minati itu. Satu pesanan ringkas aku hantarkan.

Satu lapan belas minit pagi,

Kelibat seseorang yang sudah lama tidak kutemu masih tidak kelihatan. Resah mula menggantikan darah dan mengalir laju ke dalam tubuhku. Baru aku sedar aku kesejukan di tengah malam begini, yang gelapnya tanpa cahaya. Bintang terang juga tiada yang sudi menampakkan diri. Aku dakapkan telefon bimbit ke telingaku dengan harapan suaranya ada disebelah sana, mengatur kata kata maaf atau apa sahaja yang dapat menydapkan hatiku. Tiada apa.

Aku hela nafas dan aku hembus kembali perlahan lahan. 

Dua dua puluh tiga minit pagi,

Aku mendongak ke langit tinggi sambil menyelongkar memori aku dan dia yang semakin pahit dibenak. Aku tak sepatutnya biarkan dia meredah hujan keseorangan tempoh hari. Tak sepatutnya aku biarkan dia menunggu begitu lama, dan tidak sepatutnya aku biarkan dia semakin jauh dalam lautan sepi yang aku cipta sendiri. Aku menghilangkan diri saat cintanya padaku berada pada paras yang tertinggi. Kata rakannya si dia sudah tidak lagi mengharapkan apa apa. "Hatinya sudah mati," katanya.  Tetapi itu bukan dia yang aku kenal, mana mungkin dia biarkan aku begini. Dia pasti akan ke mari. Aku yakin. 

Tiga dua minit pagi,

Aku ternampak kelibatnya di hujung lorong sana. Manis senyumnya seperti biasa. Aku mula mengatur langkah dan pergi mendapatkan apa yang aku mahukan sepanjang hidupku. Bait bait ayat sudah lama aku latih di hadapan cermin sebelum sampai disini. Tetapi dirinya semakin jauh. Aku melajukan langkah, yang seakan tidak bergerak dari tempat asalku berdiri. Aku terus berlari sekuat hati. Aku terjaga. Peluh dingin mula mengalir laju di dahi. Fikiranku mengiyakan bahawa aku bermimpi. Dia masih lagi tidak sampai dan hati aku semakin rawan, kali ini bersertakan lengan dan leher yang menjadi kamar persinggahan serangga berbelang. Batang rokok yang entah keberapa.
 

Lima tiga puluh dua minit pagi,

Embun sudah mulai memenuhi dedaun dan permaidani hijau, yang pastinya mengingatkan aku kepada memori kami berdua menjelajah tasik kesukaan dikala mega mula menjengah dibalik bukit. Sudah lama aku disini dan aku tahu dia tidak akan muncul disini bersama mentari. Rasa kesal mula membalut diriku yang kesejukkan. Sepayah aku menghalang mata dari bergenang, sepayah itulah aku cuba menenangkan diriku.

Tujuh pagi,

Berat kakiku untuk mengorak langkah pulang. Seberat hatiku untuk menerima kenyataan bahawa aku sudah tidak lagi membawa erti kepadanya seperti dulu. Yang tinggal hanya bangku kayu yang kami bina bersama dahulu, yang akan menjadi tanda penyesalanku atas cinta yang tidak pernah aku iktiraf. Dan aku tinggalkan namanya di atas bangku itu bersama beberapa bait ayat yang aku karang.


***********

"Walau aku tidak pernah endahkan tangis sebak air matamu,
Organ ini degupnya tetap untuk kamu,
Nafas ini masihnya dihembuskan untuk kamu,
dan wajahmu tidak pernah berhenti menari di benakku.

Maafkan aku, aku masih perlukan kamu."


Inspired by,

9 ulasan:

  1. menunggu itu satu pekerjaan yang memenatkan.
    sangat.

    BalasPadam
  2. melancholy dramatic. this is nice.

    BalasPadam
  3. Cinta itu menyakitkan. Kenapa?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rasanya terlalu banyak jawapan untuk soalan saudara/saudari. Apa kata saudara atau saudari cuba untuk bercinta dan rasa sendiri? Kalau tidak berjaya dalam merasa kesakitannya, bercinta lah lagi, dan lagi, dan lagi.

      Padam