20120725

Tercipta Kata | Janji?

Ini adalah inspirasi dari kisah benar.

Baunya masih sama. Bau vanila menyengat pekat. Malam itu kami menghabiskan sisa masa yang ada di tasik kesukaaanku dan dia. Ianya masih cantik. 

Dengan berkaki ayam, kami berlari berpautan tangan, berpautan kasih ke fantasi yang usang. Fantasi yang pernah kami duduki dahulu. Kini kami mendudukinya sekali lagi mahupun hanya untuk semalam. Kami menikmati cinta yang akan hilang dalam beberapa ketika dengan jiwa yang bebas. Hanya imaji kegembiraan yang menemani kami. Selain bintang bintang bercahaya terang menghiasi. 

"Terang bintang bintang itu." katanya sambil mengucup tanganku.

Aku hanya diam membisu. Iya, memang terang bintang pada malam itu. Tidak pernah aku menyaksikannya seterang itu. Mungkin bintang bintang itu seperti cinta kami. Terang untuk kali terakhir sebelum semuanya diambil kembali. 

Kami persetankan masa yang bakal meragut cinta kami. Kami ketawa, kami menangis, kami bercinta lagi. Aku takkan lupa bau itu. Bau yang mengangkat aku tinggi dan membuat aku seperti tidak boleh berdiri lagi. Aku juga mengharapkan dia tidak akan melupakan ciumanku. Kerana cuma aku yang mampu memberikan ciuman selembut itu. 

Kami bertentang mata dan menggubal janji. Janji untuk kembali ke fantasi ini dan menjadikannya realiti. Tapi bukan sekarang. Masih banyak halangan yang harus dilangkah dan dipijak mati.

"Masanya sudah tiba." Kataku dengan lemah.

Masanya sudah tiba untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tasik, buaian, jambatan dan sampan. Masanya juga sudah tiba untuk kembali berpura seolah tiada apa ikatan antara hati kami. Kami berpegangan tangan, berpelukan, dan menangis lagi. 

"Aku harap kau tak bahagia dengan dia." Kataku.

"Aku juga harap kau tak bahagia dengan dia." Katanya.

Lalu kami ketawa sinis. Dia mengucupku mesra untuk kali terakhir yang entah keberapa kali, dan berlalu pergi.

"I will look into every corner and think of you."
"I will listen to our songs and think of you too."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan