20120214

Tercipta Kata | Sinar Itu



Hati aku layu. Walaupun matahari tegak di ufuk sana menyinari segenap inci taman ini.

Kelihatan ramai manusia yang bergembira kecuali aku. Mungkin aku patut turut sama bermain dengan anak kecil itu dan belonnya. Tapi aku tak mampu. Hati aku sudah layu.

Hati aku layu kerana dia. Hati aku layu kerana janji dia yang tak seberapa. Hati aku layu bila dia buat aku seolah berasmara dengan air mata.

Mungkin hati aku sudah mati.

Sedang aku memikirkan cara untuk melekatkan kembali cebisan cebisan hati aku menjadi satu, datang seorang lelaki menyapa aku. Aku masih ingat bau hangat lelaki itu. Seakan gula gula getah yang menyengat manis.

"Kau kenapa?"
Dia bertanya bersama senyuman yang cukup untuk menyatakan dia sedang gembira.

"Kau siapa?"
Aku bertanya kembali. Tidak tenang hati ini diserkap begitu.

"Sesiapa yang kau mahu. Kau tak malu?"

"Kenapa perlu malu?"

"Kau di sini menangis depan orang kau tak malu?"

"Biarlah. Bukan mereka faham pun apa di benak ku."

"Fahamkan aku."

Seraya itu aku meluahkan segalanya. Entah apa yang membuatkan aku berbuat begitu. Siapa dia, dari mana dia datang entah siapa tahu. Mungkin lelaki ini punya kuasa magis, kerana dia seperti mampu memahami imaji imaji walaupun tidak merasai apa yang sebenarnya berlaku.

Dia hanya mendengar, mengangguk dan bertanya itu ini bila perlu. Kami berdua diam sesudah semuanya. Aku lihat wajahnya sungguh damai. Orang seperti dia kah yang akan merasa syurga? Di saat itu aku terfikir mengapa aku bersedih? Apa sebab aku bersedih? Patutkah aku bersedih dan menuding jari kepada orang lain tanpa menuding jari kepada diri sendiri? Adakah aku marah pada diri sendiri? Semua itu bermain di benakku dan aku mula membandingkan aku dengan lelaki ini. Betapa dia menghargai hidup dan setiap saat yang ada. Pada ketika itu aku memadamkan api kesedihan aku untuk turut damai seperti dia.

"Dan nama kau?"
Dia bertanya.

"Lili. Nama aku Lili."

"Ambil ni."

Dia menghulurkan aku sekuntum bunga tulip. Tanpa disuruh aku menghidunya. Asyik aku menghidunya sehingga memejam mata. Harum bau bunga itu seolah mengangkat aku tinggi dan membuat aku seperti tidak boleh berdiri lagi.

Saat aku membuka mata, dia sudah tiada. Jasad mahupun roh. Hanya tinggal aku di taman itu. Anehnya, bau lelaki tadi masih melekat di rongga hidungku. Bau gula gula getah menyengat manis.

Dengan kudrat baru, aku bangun menegakkan diri. Baru aku sedar betapa damainya taman tersebut dan betapa cantiknya matahari menyinar petang itu.

Siapa pun dia, aku mengganggap dia seperti malaikat yang membawa cahaya ke lorong sempit hidupku.

Terima kasih. Terima kasih banyak kerana membawa aku kembali ke bumi nyata. Dan terima kasih kerana membantu menghidupkan hatiku yang sudah mati.

20120207

Tercipta Kata | Jawapannya?

Bagaimana ya? Rasanya untuk mempunyai hati? Kerana aku seakan tidak lagi ingat perasaan mempunyai secebis daging bergelar hati yang mempunyai segenap jenis rasa yang menguasai jiwa. Atau bila mana cebisan daging itu mengabui mata untuk menyatakan mana pahit mana madu, atau apa pun  rasanya.

Pernah aku menjaga hati aku. Aku balut sehabis baik dengan  kertas pembalut bergambar pari - pari. Aku ikat kemas mati. Tetapi entah bagaimana aku terleka dengan dunia, lalu hati aku mula dirobek direntap dan dicarik carik. Aku tertanya tanya, tidak tahan kah pembalut aku yang bergambar pari - pari itu? Atau mungkin hati aku terlalu manis sehingga menarik perhatian serangga - serangga celaka yang menjilat habis hati ku? 

Ahh serangga - serangga celaka itu. Betapa bodohnya aku.  Aku silap. Aku fikirkan mereka sekecil itu tidak mampu untuk merosakkan hati aku yang aku jaga kemas rapat. Aku masih ingat, bila mana serangga pertama datang cuba menapak di hatiku. Aku biarkan saja. Mungkin kerana aku tidak bimbangkan ia kerana dia, hanya seekor serangga. Atau mungkin juga aku mahu menguji keberkesanan pembalut bergambar pari - pari sembilan belas lapis aku yang ternyata tidak seberapa. Aku mula sedar hatiku dimakan sedikit demi sedikit. Aku nekad! Aku mahu bunuh serangga itu. Serangga yang ternyata memberi kesan luka pada hati aku. Tetapi dek kerana kasihan, akan sifatnya yang seekor serangga, kecil tidak bermaya, aku lepaskan ibu jariku dari terus meleperkan ia. Aku biarkan dia hidup. Aku bebaskan ia dan melaung supaya jangan datang lagi.

Sepatutnya aku mengambil tindakan berjaga - jaga. Tetapi tidak. Dek terleka dengan alam fana yang tidak menjanjikan apa - apa, serangga itu datang kembali. Kali ini dengan serangga - serangga celaka yang lain yang mempunyai misi hidup yang sama - hati aku. Semenjak itu, serangga - serangga itu terus memakan hatiku tanpa belas kasihan. Serangga yang dulu kecil tidak bermaya, membuatkan aku tertanya - tanya di mana kudrat jiwa raga ku? Mengapa aku biarkan mereka mengambil hatiku? Jawapannya? Tiada siapa yang tahu.

Bagaimana ya? Rasanya untuk mempunyai hati?