Hati aku layu. Walaupun matahari tegak di ufuk sana
menyinari segenap inci taman ini.
Kelihatan ramai manusia yang bergembira kecuali aku. Mungkin
aku patut turut sama bermain dengan anak kecil itu dan belonnya. Tapi aku tak
mampu. Hati aku sudah layu.
Hati aku layu kerana dia. Hati aku layu kerana janji dia
yang tak seberapa. Hati aku layu bila dia buat aku seolah berasmara dengan air
mata.
Mungkin hati aku sudah mati.
Sedang aku memikirkan cara untuk melekatkan kembali cebisan
cebisan hati aku menjadi satu, datang seorang lelaki menyapa aku. Aku masih
ingat bau hangat lelaki itu. Seakan gula gula getah yang menyengat manis.
"Kau kenapa?"
Dia bertanya bersama senyuman yang cukup untuk menyatakan
dia sedang gembira.
"Kau siapa?"
Aku bertanya kembali. Tidak tenang hati ini diserkap begitu.
"Sesiapa yang kau mahu. Kau tak malu?"
"Kenapa perlu malu?"
"Kau di sini menangis depan orang kau tak malu?"
"Biarlah. Bukan mereka faham pun apa di benak ku."
"Fahamkan aku."
Seraya itu aku meluahkan segalanya. Entah apa yang
membuatkan aku berbuat begitu. Siapa dia, dari mana dia datang entah siapa
tahu. Mungkin lelaki ini punya kuasa magis, kerana dia seperti mampu memahami
imaji imaji walaupun tidak merasai apa yang sebenarnya berlaku.
Dia hanya mendengar, mengangguk dan bertanya itu ini bila
perlu. Kami berdua diam sesudah semuanya. Aku lihat wajahnya sungguh damai.
Orang seperti dia kah yang akan merasa syurga? Di saat itu aku terfikir mengapa
aku bersedih? Apa sebab aku bersedih? Patutkah aku bersedih dan menuding jari
kepada orang lain tanpa menuding jari kepada diri sendiri? Adakah aku marah
pada diri sendiri? Semua itu bermain di benakku dan aku mula membandingkan aku dengan
lelaki ini. Betapa dia menghargai hidup dan setiap saat yang ada. Pada ketika
itu aku memadamkan api kesedihan aku untuk turut damai seperti dia.
"Dan nama kau?"
Dia bertanya.
"Lili. Nama aku Lili."
"Ambil ni."
Dia menghulurkan aku sekuntum bunga tulip. Tanpa disuruh aku
menghidunya. Asyik aku menghidunya sehingga memejam mata. Harum bau bunga itu
seolah mengangkat aku tinggi dan membuat aku seperti tidak boleh berdiri lagi.
Saat aku membuka mata, dia sudah tiada. Jasad mahupun roh.
Hanya tinggal aku di taman itu. Anehnya, bau lelaki tadi masih melekat di
rongga hidungku. Bau gula gula getah menyengat manis.
Dengan kudrat baru, aku bangun menegakkan diri. Baru aku
sedar betapa damainya taman tersebut dan betapa cantiknya matahari menyinar
petang itu.
Siapa pun dia, aku mengganggap dia seperti malaikat yang
membawa cahaya ke lorong sempit hidupku.
Terima kasih. Terima kasih banyak kerana membawa aku kembali
ke bumi nyata. Dan terima kasih kerana membantu menghidupkan hatiku yang sudah
mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan