20120207

Tercipta Kata | Jawapannya?

Bagaimana ya? Rasanya untuk mempunyai hati? Kerana aku seakan tidak lagi ingat perasaan mempunyai secebis daging bergelar hati yang mempunyai segenap jenis rasa yang menguasai jiwa. Atau bila mana cebisan daging itu mengabui mata untuk menyatakan mana pahit mana madu, atau apa pun  rasanya.

Pernah aku menjaga hati aku. Aku balut sehabis baik dengan  kertas pembalut bergambar pari - pari. Aku ikat kemas mati. Tetapi entah bagaimana aku terleka dengan dunia, lalu hati aku mula dirobek direntap dan dicarik carik. Aku tertanya tanya, tidak tahan kah pembalut aku yang bergambar pari - pari itu? Atau mungkin hati aku terlalu manis sehingga menarik perhatian serangga - serangga celaka yang menjilat habis hati ku? 

Ahh serangga - serangga celaka itu. Betapa bodohnya aku.  Aku silap. Aku fikirkan mereka sekecil itu tidak mampu untuk merosakkan hati aku yang aku jaga kemas rapat. Aku masih ingat, bila mana serangga pertama datang cuba menapak di hatiku. Aku biarkan saja. Mungkin kerana aku tidak bimbangkan ia kerana dia, hanya seekor serangga. Atau mungkin juga aku mahu menguji keberkesanan pembalut bergambar pari - pari sembilan belas lapis aku yang ternyata tidak seberapa. Aku mula sedar hatiku dimakan sedikit demi sedikit. Aku nekad! Aku mahu bunuh serangga itu. Serangga yang ternyata memberi kesan luka pada hati aku. Tetapi dek kerana kasihan, akan sifatnya yang seekor serangga, kecil tidak bermaya, aku lepaskan ibu jariku dari terus meleperkan ia. Aku biarkan dia hidup. Aku bebaskan ia dan melaung supaya jangan datang lagi.

Sepatutnya aku mengambil tindakan berjaga - jaga. Tetapi tidak. Dek terleka dengan alam fana yang tidak menjanjikan apa - apa, serangga itu datang kembali. Kali ini dengan serangga - serangga celaka yang lain yang mempunyai misi hidup yang sama - hati aku. Semenjak itu, serangga - serangga itu terus memakan hatiku tanpa belas kasihan. Serangga yang dulu kecil tidak bermaya, membuatkan aku tertanya - tanya di mana kudrat jiwa raga ku? Mengapa aku biarkan mereka mengambil hatiku? Jawapannya? Tiada siapa yang tahu.

Bagaimana ya? Rasanya untuk mempunyai hati?

1 ulasan:

  1. Kau punya hati, kau cuma hilang rasa. Serangga mengebaskan deriamu. Tepuk mimpi ngerimu, buang sarang hitam itu. Leperkan serangga keji itu satu persatu dahulu.

    BalasPadam